TUN DR MAHATHIR PEGANG KUASA MUTLAK DI BAWAH ISA KETIKA OPS LALANG

Pengakuan bekas Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau bertanggungjawab terhadap Ops Lalang sekaligus membuka ruang kepada satu fakta bahawa mereka yang ditahan ketika operasi itu sememangnya bertanggungjawab terhadap perbalahan antara kaum pada 1987.
Bagaimanapun, pengakuan Dr Mahathir itu bersyarat.
Pengakuannya itu disertai dengan satu frasa bersyarat bahawa penahanan kesemua individu di bawah Ops Lalang itu bukan keputusannya.
“I accept the blame though the detention was not my decision,” tulis Dr Mahathir di blognya pada 1 November lalu.
Seksyen 8, Akta Keselamatan Dalam Negeri jelas menyebut kuasa mutlak penahanan selama dua tahun ini dipegang sepenuhnya oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pada ketika Ops Lalang dijalankan pada 1987, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri dan turut memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang memegang kuasa mutlak bagi perintah penahanan individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.”
Hakikatnya, polis hanya boleh menahan seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 60 hari yang kemudiannya perlu mendapatkan tandatangan atau keputusan mutlak Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk ditahan selama dua tahun di bawah akta ini.
Kuasa eksklusif ini hanya dimiliki Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu yang turut dipegang oleh Dr Mahathir maka penafiannya bahawa ia bukanlah keputusannya adalah sesuatu yang bercanggah dari fakta sebenar.
Menuding jari kepada polis kononnya ia adalah keputusan agensi penguatkuasa itu sepenuhnya adalah tidak benar kerana kuasa mutlak penahanan sepenuhnya selama dua tahun di bawah ISA ketika Ops Lalang adalah kuasa dipegang Dr Mahathir.
Di penulisan yang sama, Dr Mahathir turut secara tidak sedar mengakui kuasa mutlak itu.
“The first thing I did when I became Prime Minister was to order the release of 21 political prisoners under Internal Security Act,” tulisnya. (Perkara pertama yang saya lakukan apabila dilantik sebagai Perdana Menteri adalah mengarahkan pembebasan 21 tahanan politik di bawah ISA).
Jika tanpa keputusan dari Menteri Dalam Negeri iaitu Dr Mahathir sendiri ketika itu, mereka yang ditahan ketika Ops Lalang di bawah ISA tidak akan dihantar ke Kamunting.
Penahanan selama dua tahun itu turut menafikan hak individu terhadap perbicaraan adil di mahkamah dan kuasa mutlak ini dipegang oleh Menteri Dalam Negeri ketika ISA masih lagi dikuatkuasakan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagaimanapun mengambil langkah berani dengan memansuhkan akta yang disalahgunakan Dr Mahathir bagi mengekang musuh politiknya pada 15 September 2011.