DR MAHATHIR ‘TANGISI KEHILANGAN’ PROTON YANG SUDAH DIBERIKAN RM14 BILION SEJAK 1983

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkongsi kononnya menangis selepas Proton memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan syarikat Geely yang turut memiliki Volvo.
Geely membeli 49.9% saham Proton Holdings daripada DRB-Hicom dalam satu perjanjian dimeterai pada Rabu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir terlupa, tangisannya itu adalah bersama RM14 bilion wang rakyat yang disalurkan kepada Proton selama ini.
Melalui tulisannya di chedet.cc, Dr Mahathir, 92, berkata di “hari-hari akhirnya” sekarang, beliau sedih melihat Malaysia dijual sedikit demi sedikit kepada pihak asing bagi membebaskan negara daripada hutang.
Menurutnya, mungkin benar orang asing akan lebih cekap menguruskan ekonomi Malaysia.
“Saya pasti ia juga akan maju. Malah boleh jadi negara maju, menjangkau Wawasan 2020. Ia akan menjadi negara hebat dengan lebuh raya besar, kereta api laju (HSR), bangunan pencakar langit, bandar baharu yang berkilauan dengan taman indah.
“Tetapi saya tidak boleh berbangga!” tulisnya.
Menurutnya, beliau kini tidak mampu berbuat apa memandangkan perjanjian Proton dengan Geely sudah pun dimeterai.
“Proton, buah fikiran saya, sudah dijual. Ia permulaan kepada penjualan lebih besar.
“Lama-lama, kita akan kehilangan negara kita, negara yang sememangnya hebat, yang dimiliki orang lain.
“Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. Anak saya hilang. Tak lama lagi, negara saya. Maafkan saya,” kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.
Pada 2 April tahun lalu, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan kerajaan sudah menyalurkan RM13.9 bilion kepada Proton milik rakyat dalam memastikan syarikat itu terus bertahan.
“Mahathir harus tampil ke hadapan dan menjawab sebab Proton berada dalam masalah kewangan yang serius sedangkan berbilion Ringgit milik rakyat telah dilaburkan ke dalam syarikat itu.
“‘Cerita seram’ tentang campur tangan langsung dan gaya kepimpinan diktator Pengerusi bukan Eksekutif dalam Proton mula diperkatakan secara berperingkat. Mengejutkan!,” tulisnya di laman Twitter selepas Dr Mahathir mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi Proton dan Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.