#NEGARAKU: MENGAPA MAKCIK DARI MALAYSIA INI DIPUJI DI AMERIKA SYARIKAT?

Ia bukan hari biasa.
Ia hari kelahiran seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Twinsburg, Ohio, Amerika Syarikat dan bagaimana wanita berusia 50 tahun itu mahu menyambutnya?
Menjamu seluruh shif anggota bomba di Balai Bomba Twinsburg dan bukan dengan makanan lazim negara barat itu, tetapi dengan masakan Malaysia!
Itulah dilakukan oleh Azee Keen, 50, yang turut menerima pujian pegawai dan anggota Balai Bomba Twinsburg apabila membuat keputusan untuk memasak makanan Malaysia bagi menyambut hari kelahirannya.
Malah, ada yang terkejut dengan usaha Azee itu yang mampu memasak bagi keseluruhan pegawai dan anggota bagi satu shif di balai bomba itu.
Menariknya, dengan turut berpakaian apron ‘Commander In Chef‘ (Ketua Chef) mengambil masa beberapa jam untuk menyediakan kesemua juadah bagi menjamu warga Balai Bomba Twinsburg itu.
Twinsburg adalah sebuah pekan kecil yang didiami hampir 20,000 penduduk dan terletak antara Akron dan Cleveland serta enam jam perjalanan dari kota New York.
“Today, the B-Shift crew had an incredible treat. Local resident Mrs. Azee Keen prepared an authentic Malaysian meal for the firefighter’s lunch. Mrs. Keen spent several hours in the Station 1 kitchen preparing several Malaysian dishes. Cooking a meal for firefighters, to celebrate her 50th birthday, was an item on her personal “Bucket List”. Thank you Azee your meal was amazing!!! The crew can’t stop talking about all the amazing food. Happy Birthday Azee!!!” tulis pengendali laman Facebook milik Balai Bomba Twinsburg.
(Hari ini, krew bagi B-Shif menerima jamuan hebat. Penduduk tempatan, Puan Azee Keen menyediakan hidangan tradisional Malaysia untuk makan tengahari anggota bomba. Puan Kee mengambil masa beberapa jam di dapur Stesen 1 untuk menyediakan juadah Malaysia. Dia memasak sebagai sambutan hari lahirnya yang turut menjadi salah satu ‘Bucket List’. Terima kasih Azee untuk hidangan yang hebat ini!! Krew tidak berhenti bercakap mengenai makanan yang sedap. Selamat Ulangtahun Azee!!)
Status dimuatnaik pada Khamis lalu itu mula viral di kalangan warga Malaysia sejak ia mula dikongsi sepupu Azee, Az Ghazali yang turut berbangga dengan usaha wanita itu untuk menyediakan juadah Malaysia jauh di perantauan.
“And she is my cousin! Happy birthday dear cousin (dan dia adalah sepupu saya, Selamat Harijadi Sepupu!),” tulis Az di laman Facebook Balai Bomba Twinsburg itu.
Antara juadah disediakan oleh Azee ialah nasi berserta lauk dan sate serta pencuci mulut.
Rakyat Malaysia yang mengetahui akan usaha Azee ini turut memujinya kerana ia sekaligus memperkenalkan masakan Malaysia di satu sudut negara lain di Amerika Syarikat.
“Happy birthday Puan Azee. Great and awesome!!! All of you in TFD, enjoy your meal. malaysian style (Selamat Harijadi Puan Azee. Hebat dan menarik!! Anda semua di TFD, selamat menjamu selera, cara Malaysia),” tulis wartawan stesen televisyen, Shamsul Abas di status Balai Bomba Twinsburg itu.
Manakala warga Twinsburg lain turut memuji Azee kerana sudi menjamu pasukan anggota bomba komuniti itu.
“Wow, that’s so awesome!! She looks so happy in these pictures. Thanks, Mrs Keen, for taking care of our firefighters! Happy 50th birthday!! May it be your best one yet!! (Wow, ini sangat hebat!! Dia nampak sangat gembira melalui foto ini. Terima kasih Puan Keen kerana menjamu selera anggota bomba kita. Selamat Menyambut Ulangtahun ke-50!! Moga ia menjadi sambutan paling terbaik!),” tulis Renee Hays.
Berikut antara komen diterima status yang dikongsi sebanyak 17 kali dan menerima 235 likes itu:
“Most generous person I know! (Orang yang paling pemurah pernah saya jumpa),” tulis Miryam Antunez De Mayolo.
“She is my neighbor and she is awesome! (Dia jiran saya dan dia memang seorang yang hebat!),” kata Joanne Raynow Schaus.
Kami di My Nation News Malaysia mengucapkan Selamat Harijadi kepada Puan Azee Ken dan terima kasih kerana memperkenalkan masakan Malaysia di Twinsburg, Ohio!
Tambahan info (21 Februari 2017):
Kami memperbetulkan perkataan Commander in Chef yang sebelum ini ditulis sebagai Commander in Chief. Puan Azee atau Puan Noraswa Abdul Wahab turut menghubungi kami dan berkata dia sangat terharu dengan perkongsian kisah ini kerana ia hanya sumbangan kecilnya sebagai penduduk tempatan.
“Sumbangan saya keluarga anggota bomba di Twinsburg adalah peribadi dan terlalu kecil jika dibandingkan dengan tenaga dan masa yang telah mereka berikan. Niat saya juga adalah sebagai penghargaan untuk sepupu saya, Az Ghazali, yang suatu masa dahulu telah berkhidmat sebagai ahli bomba di Rhode Island di Amerika Syarikat,” tulisnya.