DIMANAKAH CHARLES MORAIS?

KUALA LUMPUR: Pelbagai persoalan timbul bagaimana kawalan pintu sempadan di selatan tanahair apabila siasatan mendapati terdapat ‘kelonggaran’ untuk Charles Suresh Morais, adik kepada Timbalan Pendakwa Raya yang dibunuh, Kevin Morais, mampu masuk semula ke negara ini tanpa rekod.
Sumber MyNation berkata kali pertama Charles keluar daripada negara ini ialah pada Khamis, 26 November kira-kira jam 12.39 tengah malam menggunakan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah atau dikenali sebagai Laluan Kedua.
Bagaimanapun, tiada rekod masuk semula ke negara ini direkodkan namun Charles keluar semula kira-kira jam 3.54 petang tadi (28 November) melalui KIK Bangunan Sultan Iskandar atau Tambak Johor.
Kedua-dua pergerakan keluar Charles adalah bagi melepasi sempadan negara ini untuk memasuki Singapura.
Charles pada Rabu lalu mengadakan sidang media berkaitan pengakuan sumpah 18 muka suratnya dengan membuat pelbagai tuduhan mengarut termasuk kononnya terdapat kaitan 1MDB dengan kematian adiknya.
Lelaki ini menggunakan pasport yang baharu diperolehinya pada 19 Oktober lalu dan tamat tempoh pada tarikh yang sama pada 2020 dan sebelum ini pernah berdepan sekatan perjalanan.
Ia kira-kira sebulan selepas abangnya, Kevin Morais ditemui mati di Subang Jaya.
Charles pada Februari 2012 pernah dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) namun pemeriksaan terkini melalui E-Servis mendapati dia sudah tidak lagi dikenakan halangan itu.
Perintah sekatan dikeluarkan LHDN lazimnya berkaitan pembayar cukai yang ingkar melalui peruntukan Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
Charles pada sekitar 2010 dan 2011 turut berdepan masalah percukaian dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan pernah dikenakan waran tangkap. Namun tidak dapat dipastikan sama ada Charles atau lebih dikenali sebagai ‘Chuck’ di Amerika Syarikat sudah menyelesaikan masalahnya dengan sistem perundangan negara itu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melabelkan Charles sebagai pengecut selepas didapati sudah melarikan diri daripada negara ini awal pagi Khamis lalu melalui Johor Bahru.
Ia berdasarkan kenyataan daripada peguamnya, Americk Sidhu semalam yang menyatakan Charles sudah ‘pulang ke Amerika Syarikat’
Tan Sri Khalid berkata, polis akan memanggil seorang peguam yang dikatakan bersama-sama Charles Suresh dalam sidang media itu untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 202 Kanun Tatacara Jenayah dan 124L Kanun Keseksaan.
Menurut sumber MyNation, terdapat dua pintu keluar di Johor Bahru iaitu Bangunan Sultan Iskandar melalui Tambak Johor dan Bangunan Sultan Abu Bakar di Gelang Patah menggunakan Jambatan Laluan Kedua.
Bagaimanapun menurut sumber itu lagi, sistem digunapakai Jabatan Imigresen iaitu sistem LU2 dikatakan tidak mencatatkan sebarang rekod pergerakan masuk Charles Suresh Morais selepas keluar pada 26 November lalu namun sekali lagi keluar petang tadi melalui Tambak Johor.
Persoalan tiada rekod kemasukan semula Charles ke negara ini perlu disiasat secara serius pihak berkuasa kerana ia menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kawalan keselamatan sempadan negara ini.