EKSKLUSIF: ARTIS WANITA MUATNAIK VIDEO HUBUNGAN INTIM

Kita cepat-cepat klik jika ia gosip kan?
Kita cepat-cepat klik jika tajuknya panas kan?
Kita lekas-lekas pergi jauh sikit daripada orang lain kalau nampak tajuk dengan gambar macam ini kan?
Kita sanggup tinggalkan kerja lain kerana mahu tahu siapakah artis dimaksudkan.
Kita lebih suka cerita-cerita sebegini kerana kita tidak suka berfikir.
Kita lebih suka cerita-cerita sensasi supaya kita tak perlu berfikir tetapi kita boleh menikmati foto sensasi ini.
Kita tahu, hari ini kemudahan untuk mengakses Internet turut menyebabkan semakin mudah untuk menyebarkan berita tidak sahih atau palsu di laman sosial.
Kita lihat sesuatu, kita terus memuatnaik tanpa usul periksa.
Kita lupa akan undang-undang. Kita pertikai undang-undang apabila sudah terkena.
Kita labelkan penguatkuasa sebagai zalim dan kejam apabila kita sendiri mengundang padah memuatnaik sesuatu berita palsu, menjejaskan keharmonian, menggusarkan serta menjejaskan keselamatan.
Kita suka menjadi yang pertama melaporkan walhal kita hanya nampak hakikat, tetapi tidak menyelidik yang hakiki.
Kita pantas mengeluarkan telefon bimbit kita apabila terserempak dengan kemalangan. Bantu kemudian.
“Lima mati lah. Saya ada di tempat kejadian ketika ini.”
Kita mahu diiktiraf sebagai wartawan.
Kita mahu dapat likes paling banyak di akaun laman sosial kita.
Kita mahu dijulang, dikagumi.
Kita mahu rakan Facebook kongsikan status kita dalam jumlah yang berjuta.
Kita akan tidur lena apabila itu berlaku.
Kita akan bergebang sakan di kalangan rakan kita apabila jumlah likes pada sesuatu status itu menjadi berjuta.
Kita tidak kisah sahih atau tidak.
Kita tak mahu bertanya pada sumber yang sahih, sama ada apa yang kita lihat itu benar atau sebaliknya.
Kita pun tak kisah jika pendapat kita itu sebenarnya salah.
Kita akan marah-marah jika ada yang mempertikaikan status kita walhal orang lain hanya mahu memperbetulkan fakta.
Kita akan kata polis zalim, kejam apabila kita ditangkap kerana menyiarkan sesuatu status tidak benar dan menyebabkan pergaduhan.
Kita suka fitnah.
Kita amat suka fitnah.
Kita rasakan undang-undang tidak perlu wujud bagi membolehkan kita bebas memfitnah tetapi merengek mengadu domba apabila terkena pada hidung sendiri.
Kita kata kebebasan bersuara dengan mencaci, memaki, memfitnah tetapi tidak mahu terima apabila orang lain mencaci, memfitnah kita semula dan anggap kita ini macai.
Kita lupa kita makan gaji.
Kita lupa selain Facebook dan Twitter, kita ada neraka.
Kita malas untuk membaca apa yang sahih.
Kita nampak sesuatu fitnah, kita lekas lekas kongsikan.
Kita share fitnah dan kita buat rumusan apabila bertemu Mahmud, Salim dan Din di restoran Nasi Kandar Pelita.
“Betul bro, aku dah baca dah. Kalau kau tak percaya terpulanglah, tapi memang betul. Kau baca daripada mana? Si Leha share kat Facebook tadi.”
Kita bersungguh-sungguh dan rasa hebat apabila Leha share dan kita dapat tahu perkara yang kita sendiri tidak arif mengenainya. Lagipun Leha hot. “Leha, I dah share post you tadi. You memang hebatlah Leha. Tak rugi I follow you. Jom minum,” kata kita. Jangan tipu.
Kita tak mahu pulak kongsikan apabila ada penjelasan, apa yang Leha kongsikan sebenarnya tidak benar.
Kita rasa ego dan kehebatan kita tercalar dan maruah bagai dihempas hempas apabila apa yang kita kongsikan sebelum ini sebenarnya tak betul.
Kita lupa kita masih lagi dalam perkhidmatan kerajaan.
Kita lupa akan Perintah Am Bab D.
Kita lupa, kita tak boleh suka-suka dan menjadikan hobi memuatnaik status di laman sosial menyebar fitnah atau berkaitan politik sewenangnya.
Klik foto untuk melihat pada saiz lebih besar.
Kita minta maaf tiada berita sensasi di sini seperti tajuknya.
Kita hanya lakukan eksperimen media sosial bagi melihat bagaimana reaksi anda.