BLOG BENCHMARK DEDAH SURAT, GOOD STAR LIMITED BUKAN MILIK JHO LOW

KUALA LUMPUR: Selepas mendedahkan mengenai satu urusan jual beli tanah antara Tabung Haji dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), blog menggunakan nama ‘thebenchmark’ mendedahkan beberapa keping surat daripada PetroSaudi International Limited (PetroSaudi).
Blog ‘thebenchmark’ dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa blogger pro bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Surat dipaparkan di blog thebenchmark antara lain menyatakan dengan jelas mengenai pemilikan saham syarikat Good Star Limited yang pernah didakwa blog Sarawak Reports dimiliki usahawan Jho Low.
Surat yang dipaparkan jelas menyanggah pelbagai dakwaan ditulis Sarawak Reports yang berterusan memaparkan foto kononnya transaksi emel sahih diperolehi daripada ‘penyiasat’ mereka.
Pelbagai pihak sebelum ini, sering mempertikai dakwaan Sarawak Reports termasuk kononnya emel yang dipaparkan adalah sahih.
“Ini semua dari laporan media. Itu sebab di Parlimen saya jawab, kita tidak boleh membincangkan perkara yang dilaporkan oleh media kerana ia tidak ada pengesahan,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam wawancara secara langsung di TV1, Rabu lalu.
Sarawak Report antara laman blog yang secara berterusan mendakwa mereka memperolehi pelbagai bukti emel kononnya syarikat 1MDB telah membayar US$300 juta kepada syarikat Good Star Limited, didakwa milik Jho Low.
Beberapa keping surat dipaparkan oleh blog thebenchmark.blogspot.com dipercayai mula dimuatnaik pagi tadi antara lain turut mengemukakan sepucuk surat daripada pengasas dan pengerusi PetroSaudi International, Putera Turki bin Abdullah Al Saud.
Putera Turki adalah anak ketujuh kepada Almarhum Raja Abdullah, Raja Arab Saudi, yang mangkat pada 23 Januari lalu.
Surat tiga perenggan ditulis Putera Turki menggunakan kepala surat rasmi baginda bertarikh 28 Ogos 2009 ini dikirimkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas pertemuan antara Raja Abdullah, Putera Turki dan Najib.
“Izinkan saya mengucapkan kepada anda dan keluarga, Selamat Menyambut Eid Mubarak.
“Saya sangat gembira dapat berjumpa pada musim panas lalu bersama keluarga anda. Lanjutan daripada dialog yang kita adakan, sila lihat lampiran, surat daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) saya memperincikan kerjasama perniagaan,” kata Putera Turki dalam surat itu.
Klik pada foto untuk resolusi lebih jelas.
Menurut ‘thebenckmark’, lanjutan daripada itu, satu surat dihantar oleh peguam 1MDB, Wong & Co yang turut melampirkan surat daripada CEO PetroSaudi kepada syarikat usahama 1MDB – PetroSaudi JB menuntut bayaran US$700 juta.
“Bayaran itu perlu dimasukkan ke akaun PetroSaudi International JP Morgan Chase bagi akaun RBS Courts Bank Ltd (544-7-4487-6),” kata blog itu lagi.
Melalui paparan surat itu, ia dengan jelas membuktikan segala arahan pemindahan wang ke dalam akaun Good Star Limited adalah daripada CEO PetroSaudi International dan bukannya 1MDB, kata thebenchmark, selain menjelaskan, Good Star Limited bukan milik usahawan Jho Low.
Sebagaimana pendedahan dilakukan ketika urusan Tabung Haji, blog ‘thebenchmark’ bagaimanapun tidak menyatakan siapakah sumber mereka.