BAGAIMANA LOT RUMAH BUMIPUTERA DIMANIPULASI?

Modus operandinya mudah, menukar lot perumahan yang dikhususkan untuk Bumiputera kepada bukan Bumiputera untuk dijual pada harga lebih tinggi sekaligus membolehkan pemaju mengaut keuntungan dengan mengenepikan hak pembeli Bumiputera.
Bagi setiap rumah yang dibina, diskaun diberikan ialah 15 peratus dari harga diiklankan bagi lot Bumiputera dan jika dapat dijual sebagai bukan Bumiputera, ia akan meraih keuntungan berikutan dapat dijual tanpa diskaun.
Untuk membolehkan ia diisytiharkan tidak dapat dijual kepada pembeli Bumiputera, lot rumah Bumiputera itu disimpan menggunakan nama kakitangan pemaju perumahan.
Ia kemudiannya diubah kepada lot bukan bumiputera dengan memberi alasan tiada pihak dengan status bumiputera berminat untuk membelinya.
Media sebelum ini pernah mendedahkan, ada pemaju yang sengaja memaklumkan kepada pembeli berminat lot Bumiputera sudah habis dijual sebagai taktik bagi mengaut keuntungan dengan menjualnya sebagai lot bukan Bumiputera.
Menurut sumber kepada akhbar The Star, suspek kemudiannya pergi bertemu pihak yang berminat bagi proses pertukaran status lot Bumiputera itu kepada bukan Bumiputera.
Manakala seorang lagi suspek yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan kerajaan negeri Johor, ditugaskan untuk mengutip bayaran sebelum mengagihkan perolehan haram itu.
Perolehan itu dikatakan berjumlah berpuluh juta Ringgit dipercayai bermula sejak 2013.
Pasukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan membongkar kegiatan itu selepas meneliti himpunan dokumen yang dirampas dari kerajaan negeri dan pemaju perumahan.
My Nation News Malaysia difahamkan, salah seorang suspek yang dikaitkan dengan pegawai kanan kerajaan negeri Johor pernah dipanggil SPRM tahun lalu bagi memberi keterangan mengenai kegiatan ini.
Suspek dikatakan dipanggil sekurang-kurangnya dua kali namun SPRM tidak lagi bertindak ketika itu, dipercayai bagi meneruskan pemantauan dan risikan mereka terhadap kesemua suspek.
SPRM turut melakukan siasatan bagi meneliti sama ada tanah berstatus Bumiputera turut ditukar statusnya menggunakan modus operandi yang sama. Risikan dikatakan berjalan selama enam bulan termasuk memantau gaya hidup suspek.
Sepasukan pegawai SPRM dikatakan sudah berada di Johor Bahru sekurang-kurangnya seminggu sebelum tangkapan dibuat.
Menurut The Star, sebarang kelulusan untuk menukar status lot perumahan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Johor.
Timbalan Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki yang mengesahkan operasi khas itu berkata, siasatan masih lagi berjalan terhadap skim penukaran status lot rumah Bumiputera itu.
“Kita akan mengumpul lebih banyak maklumat dan melakukan serbuan di beberapa lokasi lagi,” katanya sambil menambah lebih ramai suspek dijangka akan ditahan selepas ini.
Berdasarkan kepada pecahan kuota jualan, jumlah unit bumiputera bagi rumah kediaman berharga kurang dari RM200,000 adalah sebanyak 40 peratus, manakala kuota jualan bagi kediaman bernilai antara RM200,000 hingga RM299,999 adalah 30 peratus.
Manakala kuota jualan bumiputera bagi kediaman bernilai lebih RM300,000 adalah 20 peratus dan kuota bagi jualan rumah kedai dan perdagangan adalah 40 peratus.
Apabila perumahan yang dibina itu siap 50 peratus, pemaju akan menulis kepada sekretariat kerajaan negeri bagi memohon pelepasan lot bumiputera dengan alasan tiada pembeli bagi lot berkenaan.
Bagaimanapun pemaju perlu membayar kira-kira 7.5 peratus daripada nilai 15 peratus diskaun sebagai premium kepada kerajaan negeri, kata The Star memetik sumber dari industri.
Orang tengah kemudian akan menggesa pemaju terbabit untuk membayar ‘yuran agen’ atau sogokan bagi menukar status lot terbabit atau bagi mempercepatkan proses.
Premium itu yang diterima itu sepatutnya digunakan bagi membina perumahan rakyat atau pembangunan infrastruktur.
Jumaaat lalu, SPRM menahan enam individu termasuk Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latiff, anak sulung kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi serta pegawai khasnya.
Empat yang lain termasuk dua pemaju dan seorang peguam. SPRM berjaya memperolehi perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap enam suspek ini.
Turut dirampas dalam operasi ini adalah 21 kenderaan mewah dan lima motosikal berkuasa tinggi dari jenama mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz, Porsche, Range Rover dan Harley Davidson.
Sebanyak 45 akaun bank dengan nilai RM15.5 juta milik enam individu ini turut dibekukan.