TUNKU MAJID: MAHATHIR GUNAKAN AYAH SAYA UNTUK PECAT TUN SALLEH

JOHOR BAHRU: Anakanda kelapan Almarhum Sultan Iskandar, hari ini membidas Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mendedahkan bekas perdana menteri itu mempergunakan ayahandanya bagi memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abbas.
Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar melalui akaun Facebook miliknya berkata, Almarhum ayahandanya mengetahui Tun Mohamed Salleh adalah seorang individu yang baik malah sudah berbaik dengan bekas Ketua Hakim Negara itu.
Melalui status yang turut dikongsi 13 pengguna Facebook, Tunku Abdul Majid turut menyelar Mahathir dan meminta bekas perdana menteri itu agar tidak menyalahkan orang lain yang sudah meninggal dunia dan tidak dapat mempertahankan diri.
Tunku Abdul Majid dalam satu balasannya kepada rakan Facebook bernama Tengku Azman menjelaskan, adalah mustahil dengan dakwaan Mahathir, penyingkiran Tun Mohamed Salleh adalah berikutan rungutan terhadap bunyi bising daripada kerja-kerja pembinaan di Istana Johor.
Semalam di majlis Festival Cooler Lumpur, Mahathir sekali lagi mendakwa pemecatan Mohamed Salleh sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988 lantaran kehendak Sultan Iskandar Ismail yang ketika itu menduduki takhta Yang DiPertuan Agong.
Tunku Majid turut menimbulkan persoalan jarak antara Jalan Damai dan Jalan Kia Peng, dan jika benar Mohamed Salleh boleh mendengar bunyi bising itu, beliau dengan secara sinis, mungkin bekas Ketua Hakim Negara itu adiwira ‘Superman’.
Untuk rekod, jarak antara Jalan Damai dan Jalan Kia Peng adalah sejauh 2.4 kilometer.
Dalam pada itu, pada 2008 ketika tekanan dilakukan Mahathir terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi, seorang blogger, Stephen Doss yang pernah mempersoalkan Mahathir.
“Salleh Abas pernah membuat kenyataan media selepas penggantungannya. Dalam kenyataan itu, beliau merujuk kepada satu mesyuarat pada 25 Mei 1998 (sepatutnya 1988) dengan anda, dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Salehuddin Mohamad, di mana dalam pertemuan itu, anda telah memberitahu (Salleh Abas) yang beliau akan disingkirkan antara lain kerana, memihak kepada rayuan kumpulan 11 Umno.
“Salehudin Mohamad adalah salah seorang saksi di tribunal. Salehudin menyatakan beliau mengambil nota ketika mesyuarat itu. Salehudin menyatakan hanya ingat dua perkara ditulis pada buku notanya, iaitu, ucapan Salleh Abas dan suratnya kepada Yang DiPertuan Agong (mengenai serangan anda terhadap badan kehakiman dan bukan mengenai isu pengubahsuaian), dan Salehudin mendakwa tidak ingat anda ada menyebut mengenai kes Umno ketika disoal anggota Tribunal.
“Jika Salehudin sangat yakin beliau hanya menulis dua isu pada buku notanya, mengapa beliau tidak dapat menafikan anda ada menyebut mengenai kes Umno ketika mesyuarat itu? Kenapa beliau tidak dapat mengingatinya? Dan bagi menunjukkan kedangkalan memalukan tribunal itu, ia gagal meminta Salehudin untuk mengemukakan buku nota itu. Mengapa? Ia jelas menunjukkan Ketua Setiausaha Negara mengalami penyakit yang sama dengan anda, hilang ingatan separa dan sementara.